Saturday, December 12, 2009
“Buktikan saya kaki pukul” - Remy Ishak
Ketika orang sibuk berbicara kehebatan teater Natrah yang dipentaskan di Istana Budaya, tiba-tiba berita hangat lain menjadi perhatian apabila salah seorang pelakonnya, Remy Ishak yang memegang watak Mansor Adabi dibelasah sekumpulan lelaki.
Peristiwa yang berlaku di bilik persalinan Istana Budaya pada malam 4 Disember lalu itu memberi tamparan hebat dan kontroversi terbaru buat Remy.
Menurut laporan akhbar, Remy dikepung lima lelaki manakala dua lagi bertindak memukulnya sehingga dia mengalami kecederaan di kepala dan kaki.
Pelakon Nur Kasih itu membuat laporan polis selepas kejadian dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Akibat insiden itu tersebar pelbagai persepsi yang sekarang ini masih menjadi tanda tanya apakah punca dia dibelasah? Ada yang mendakwa kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham membabitkan Remy dan pelakon Ummi Nazeera.
Malah ada yang berkata kononnya sikap “playboy” Remy yang membuatkan dia terpaksa menerima padah di bilik persalinan itu.
Namun Remy ketika ditemui pada hari Jumaat lalu dilihat mampu mendepani masalah itu dengan baik tetapi enggan mengulas secara mendalam punca pergaduhan itu terjadi.
“Perkara ini masih dalam siasatan polis,” jelasnya kepada wartawan SY MUSSADDAD MAHDI.
Apa punca Remy dibelasah?
Saya minta maaf sebab tak dapat nak beri penjelasan pasal perkara tersebut. Kalau boleh saya tak mahu ulas sehingga tiba waktunya. Lagipun kes tersebut masih lagi dalam siasatan pihak polis dan saya tak mahu memanjangkan cerita kerana bimbang mengganggu siasatan pihak polis. Tapi pelbagai spekulasi timbul selepas kes tersebut dan ia sedikit sebanyak menjejaskan nama saya.
Mengikut laporan akhbar ramai yang mendakwa punca Remy dibelasah akibat ada ‘masalah’ dengan seorang artis wanita yang dikaitkan sebagai kekasih Remy. Sejauh mana hubungan Remy dengan artis itu?
Saya memang berkawan dengan artis tersebut. Sudah setahun kami menjalinkan hubungan cinta. Cuma ia tidak diperbesar-besarkan memandangkan saya perlu menjaga hati banyak pihak terutama keluarganya. Saya sangat menghormati mereka.
Benarkah dakwaan yang mengatakan Remy memang panas baran dan kaki pukul?
Siapa yang bercakap tentang perkara tersebut? Kalau ada tolong tampil untuk memberikan bukti. Mungkin orang memberikan andaian masing-masing tanpa mengenali siapakah Remy Ishak sebenarnya. Selepas kes itu ramai yang menganggap saya memukul dia. Tapi hakikatnya saya tidak melakukan perkara tersebut. Kalau tak percaya cuba tanya dia sendiri. Dia tahu apa yang berlaku dan tak perlu rasanya orang di luar sana mendengar cerita daripada pihak ketiga.
Kalau Remy tidak mempunyai apa-apa masalah, kenapa ada orang nak serang Remy?
Saya tak mahu bercakap soal itu. Tunggulah semuanya selesai sedikit masa lagi. Orang yang datang menyerang saya. Tidak perlu saya mengulas lanjut kerana saya dan dia tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam insiden tersebut. Tak guna saya buka mulut jika ia akan memburukkan pihak dia. Tapi saya juga harus mempertahandiri saya dari terus dilihat sebagai bersalah. Tak adil rasaya jika saya tidak membersihkan nama dan hanya menelan kata-kata nista yang dilemparkan.
Ada sumber yang memberi tahu Remy seorang playboy dan banyak skandal? Benarkah dakwaan tersebut?
Bila masa saya ada skandal? Dengan siapa? Kalau benar dakwaan tersebut sila kemukakan bukti dan jangan pandai bercakap di belakang sahaja. Kalau asyik cakap belakang sampai bila pun tak habis. Saya hanya menganggap ini adalah cubaan untuk melihat saya tersungkur. Saya tak peduli semua ini. Remy Ishak tetap akan melangkah ke hadapan dan berjalan tanpa henti. Biarlah apa orang lain nak cakap.
Bagaimana hubungan Remy dengan dia sekarang?
Saya sudah tidak ada apa-apa hubungan dengan dia lagi. Dia ada menghubungi saya dan meminta maaf atas apa yang berlaku. Saya boleh maafkan apa yang telah berlaku, cuma cukup setakat ini sahaja. Saya tak mahu pisang berbuah dua kali. Saya juga ada maruah diri dan dalam masa yang sama perlu menjaga maruah keluarga. Cukup semuanya berakhir di sini sahaja.
Apa tindakan Remy selepas ini?
Saya tidak mahu peminat terus menghukum saya dan menyalahkan saya sahaja. Macam-macam cerita tak elok tentang saya sekarang. Saya tak mahu buka mulut lebih-lebih bimbang akan memburukkan orang lain.
Dia tampil memberikan kenyataan akhbar di Kosmo! Jumaat lalu. Apa yang Remy mahu katakan?
Saya sudah baca berita tersebut dan pelik kenapa dia tidak memberi tahu hal yang sebenarnya? Saya rasa dia tahu keikhlasan saya dan saya kesal kerana dia tidak menyatakan hal yang sebenar. Saya berkawan dengan dia sebab dirinya dantidak ada motif lain.
Apa reaksi keluarga dan peminat selepas kejadian itu?
Sudah tentu emak dan keluarga adalah orang yang paling terkejut dan sedih dengan kejadian ini. Tapi saya dah jelaskan apa sebenarnya yang berlaku dan mereka memahami saya seadanya. Bagi saya cukup mereka mengetahui apa yang berlaku dan bersabar dengan dugaan ini.
Apa tindakan Remy selepas ini?
Remy Ishak tidak akan dapat menutup mulut orang lain tetapi saya juga tidak akan tunduk dengan apa yang telah berlaku. Saya akan ‘meninggalkan’ dia tetapi tolong jangan terus membuat tuduhan bukan-bukan terhadap saya. Saya juga memaafkan ‘mereka’ dan dalam masa yang sama ingin memohon maaf kepada mereka. Kalau sesiapa nak tahu cerita sebenar boleh datang jumpa saya. Itu lebih baik daripada terus mempercayai cerita yang tak berasas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
~Ikut suka hati korunk la nak kata apa~