Remy dedah cerita sebenar
Oleh Zubir Mohd Yunus
Pelakon popular beri penjelasan insiden dirinya bergaduh dengan dramatis, Ummi Nazeera
INSIDEN bintang drama Nur Kasih dan Teater Natrah, Remy Ishak atau nama sebenarnya Mohammad Zalimie Ishak, 27, dipukul sekumpulan tujuh lelaki di koridor bilik persalinan Istana Budaya, Kuala Lumpur malam Sabtu lalu (5 Disember) mengejutkan ramai pihak. Dia dikatakan dibelasah sekumpulan samseng selepas mendatangkan kecederaan kepada ‘teman tapi mesranya’, aktres remaja, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin, 19, sehari sebelum kejadian berkenaan.
Susulan kejadian itu, Remy yang mengalami bengkak di muka dan kaki membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Bagi memastikan kesahihan Remy mengasari Ummi sehingga mengalami luka dan lebam di muka selepas berlaku pertengkaran antara mereka, usaha mendapatkan komen daripada Ummi menemui jalan buntu selepas dia enggan membuat sebarang kenyataan. Begitu juga temu janji yang dibuat bersama ibu Ummi, Datuk Maziah Musa, dua kali dibatalkan pada saat akhir, sekali gus melenyapkan harapan mendapatkan cerita sebenar.
Pun begitu, pengurus Ummi, Zailan Mohamed, 35, bersedia berkongsi cerita mengenai kejadian yang berlaku antara Remy dan Ummi. Kata Zailan, ketika ini Ummi masih trauma gara-gara insiden yang menimpa dirinya tempoh hari, manakala Maziah buat masa ini tidak mahu diganggu.
Berdasarkan keterangan Zailan, dia diberitahu Ummi pada pagi 4 Disember, memang benar antara dirinya dan Remy berlaku pertengkaran. Namun, muka Ummi cedera selepas terjatuh. Tidak lama selepas itu, Maziah pula memaklumkan kepada Zailan cerita yang berlainan.
Kata Zailan, berdasarkan keterangan Maziah, dia dimaklumkan Ummi dan Remy bertengkar, namun Ummi mengalami kecederaan di muka selepas dikasari Remy!
Justeru, penulis berjaya memujuk Remy menceritakan kejadian sebenar apa yang berlaku antara dia dan Ummi sehingga didatangi sekumpulan tujuh lelaki yang memukulnya di Istana Budaya.
“Saya tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa termasuklah pihak Ummi. Saya hormat ibu Ummi, Datuk Maziah dan seisi keluarganya. Saya tidak berniat untuk memburuk-burukkan mereka. Jadi, adalah lebih baik mereka memberitahu perkara sebenar. Terus terang saya memberitahu, antara saya dan Ummi, kami mempunyai hubungan istimewa.
“Tapi, demi menjaga nama baik keluarga Ummi, saya lebih selesa membuat pengakuan, kami sekadar berkawan baik saja. Saya turuti kemahuan Ummi. Ketika saya ingin membuat pengakuan ini, hati saya berbelah bagi. Apabila saya menceritakan kebenaran, perkara itu akan memburukkan pihak Ummi, tapi jika saya tidak memberitahu kebenaran, pihak Ummi mendakwa saya seolah-olah seorang lelaki yang jahat, dayus pukul perempuan.
“Saya perlu menjaga nama baik saya, keluarga dan kepada orang ramai yang meminati lakonan saya. Punah harapan mereka untuk melihat saya berjaya sekiranya memperoleh dakwaan yang tidak benar. Dakwaan daripada pihak Ummi, saya mengasari Ummi, memang akan menghancurkan karier saya. Tapi, dakwaan itu bukan daripada mulut Ummi mahupun ibunya, sebaliknya diceritakan Zailan. Namun, saya perlu menceritakan perkara sebenar,” kata Remy.
'Ummi serang saya bertubi-tubi'
Remy juga akui dia tidak mahu orang tersalah anggapan terhadap dirinya apabila dia didakwa memukul Ummi Nazeera, tapi pada malam kejadian 4 Disember lalu, selepas selesai pementasan Natrah di Istana Budaya, dia menerima panggilan telefon daripada Ummi menyatakan ingin bertemunya.
“Saya pun pergi menemui Ummi di kondominiumnya di Ampang walaupun saya tahu, keluarganya memang tak gemar saya datang bertemu Ummi lewat malam. Saya bertemu Ummi di kawasan bawah kondominium saja. Namun, pada pertemuan itu, antara kami ada berlaku sedikit salah faham membabitkan emosi masing-masing.
“Perkara itu secara langsung mencetuskan kemarahan saya dan Ummi. Perasaan saya ketika itu memang sangat hancur apabila ada satu perkara yang dilakukan Ummi. Dalam perhubungan, bertengkar, memang perkara biasalah. Supaya keadaan tidak bertambah keruh, saya ambil keputusan untuk beredar dari situ. Tapi, saya berasa serba salah. Pertengkaran sebelum itu, saya sangat marah dan kecewa sehingga saya mencampakkan telefon bimbit Ummi. Justeru, saya menemui Ummi kembali untuk minta maaf dan memberitahunya, saya akan ganti semula telefon bimbitnya yang dah pecah itu.
“Tapi, apabila saya kembali mendapatkannya, saya diserang bertubi-tubi oleh Ummi. Saya tak mahu memburukkan Ummi, tapi perkara ini adalah fakta. Ketika serangan itu dilakukan, Ummi dalam keadaan yang sangat agresif. Saya yakin, fikirannya ketika itu dipengaruhi sesuatu. Fikirannya tak menentu, di luar kawalan, bau nafas Ummi juga tidak seperti kelazimannya,” kata Remy.
Marah kerana Ummi ambil suatu ‘benda’
Beliau juga menjelaskan, pertengkaran antara mereka juga disebabkan suatu ‘benda’ yang diambil Ummi. Namun, Remy tidak menjelaskan apa ‘benda’ yang sudah diambil Ummi.
“Itu adalah faktor utama kenapa saya bertekak dengan Ummi. Saya menjadi marah kerana Ummi pernah berjanji dengan saya beberapa kali untuk tidak mengulangi kesilapan sama. Saya sangat kecewa kerana Ummi sering memungkiri janji-janjinya. Itu yang menyebabkan saya baling telefon bimbit Ummi.
“Ummi datang kepada saya, dia terus sepak, tendang dan menumbuk saya. Pada awalnya saya hanya mendiamkan diri, bagi saya, apa lagi yang mampu saya lakukan. Tapi, apabila Ummi berkali-kali tanpa henti (meneruskan serangan), tenaganya pula ketika itu seolah-olah seperti seorang lelaki, sampai satu peringkat, saya berasakan harus mengelak serangan yang bertubi-tubi itu.
“Ketika saya mengelak serangan Ummi, tangan saya terkena muka Ummi, ketika itu ada cincin di jari saya. Sejurus selepas itu, Ummi gagal mengimbangi badannya, lagipun fikirannya masih dipengaruhi sesuatu, lalu dia jatuh tersembam ke lantai. Apabila saya pusingkan kepalanya, saya lihat ada kesan bengkak di pipinya.
“Ya Allah, kalau jadi macam ni, memanglah saya kena tuduh pukul Ummi. Saya yakin, kebenaran akan terbukti juga suatu hari nanti, saya hanya mengelak serangan Ummi. Justeru, saya tidak pernah mengasari Ummi, saya hanya mempertahankan diri daripada terus dipukul Ummi. Itulah perkara sebenar yang berlaku pada malam kejadian,” katanya.
'Keluarga Ummi pukul saya'
Remy juga berkata, pada keesokan harinya (5 Disember) di Istana Budaya, dirinya diserang sekumpulan lelaki, iaitu ada antara mereka terbabit memang dikenalinya, iaitu salah seorang ahli keluarga Ummi sendiri.
“Saya tak sangka perkara itu akan berlaku. Saya kasihan dengan orang yang memukul saya itu, mereka hanya makan gaji (diupah), mereka tidak tahu mengenai kebenaran. Bagi saya, setiap perkara, kita boleh bawa berbincang. Kita semua dah dewasa, dikurniakan akal fikiran, bukannya anak-anak kecil.
“Apa guna kita berharta, tapi sifat berperikemanusiaan itu tak wujud dalam diri kita? Kejadian itu sudah saya buat laporan polis, jadi perkara selanjutnya saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan ke atas pencerobohan di Istana Budaya dan serangan terhadap diri saya.
“Selebihnya saya rasa Ummi yang lebih tahu. Tak perlulah daripada mulut ibu Ummi atau Zailan. Sepatutnya Ummi sendiri yang tampil membuat kenyataan kalau betul saya pukul dia. Ummi sepatutnya yang bercakap, bukannya pihak lain. Kenapa Ummi membiarkannya?
Saya tahu, keluarga Ummi tak suka saya meneruskan hubungan dengan Ummi. Kalau tak suka, cakap, saya boleh pergi jauh daripada hidup Ummi, tapi jangan buat dakwaan yang tak benar, sekali gus mengaibkan nama saya.
“Kepada Ummi, ceritakan perkara sebenar. Dia yang tahu kebenarannya. Pun begitu, demi memelihara hubungan Ummi dan keluarganya, saya undur diri (tidak meneruskan perhubungan bersama Ummi). Saya tak boleh ‘kawal’ Ummi dan tak boleh berada di dalam dunia Ummi. dunia kami berbeza, saya sedar siapa diri saya dan di mana saya berdiri. Saya mohon maaf sekiranya kenyataan saya ini mengguris hati Ummi dan keluarganya.”
Saturday, December 12, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
sedih giler aku dgr citer si Adam nie....hrp adam akan jumpa org yg lebih baik & bagus drpd si Ummi nie...
ReplyDeleteKan..aku pon ok la jugak kan..hahaha
ReplyDeleteElok lah pun si Ummi ni dah tak berkawan langsung dgn jantan ni. Anak orang elok2 keturunan, buat apa lah nak berkawan, lebih buruk lagi kalau nak berkahwin dengan lelaki macam ni, jantan yg tak tentu keturunan....yg ramai orang tak tahu
ReplyDeleteErmm..ylh kesian juga aku dgr ceta si Adam ini dr Nur Ameena gi ke Siti Sarah..haha tp dlm ceta Nur Kasih aku suka tgk Nur Ameena & Adam such are loving couple..
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete